Sanggup berhabisan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk memiliki sebuah motor Y15 tetapi itulah dia Rudy Norman. Seorang drifter, pelagak aksi ngeri, pelakon dan juga usahawan produksi.
Kalau nak bercerita tentang beliau, memang tidak akan habis. Sebenarnya, saya mengenali Rudy Norman di media sosial sudah lama dan mengikuti rapat perkembangan beliau.
Bermula dari kereta, kini beliau giat bermain motor pula. Jadi, tidak hairanlah bila apa yang dipegang beliau pasti akan menjadi trending terkini.
Baru baru ini, saya berkesempatan mendekati beliau di salah sebuah lokasi penggambaran filem Marabahaya Underground yang dirakamkan di T-City US Legend Cars Gopeng Speedway Ipoh, Perak.
Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, beliau masih dapat meluangkan masa untuk sesi bergambar bersama majalah Roadstar dan berkongsi cerita, sedikit sebanyak tentang hobi beliau.
“Main motor ni memang gila bang. Sekali dapat mesti kena sut habis kasi jadi,” ujar beliau. Dek kerana minat, beliau telah melakukan modifikasi ke atas motor ini sebegini rupa yang mencecah puluhan ribu.
Rudy mula membeli motor Y15 atau lebih dikenali sebagai Y suku di kalangan para pencinta dua roda ini sekitar tahun 2017. Sejak itu juga, beliau sudah mula berfikir tentang konsep modifikasi yang beliau inginkan.
Di saat itu juga, timbul idea untuk menggunakan konsep superbike. Beliau melakukan modifikasi ini secara sedikit demi sedikit bermula dengan pengubahsuaian chasis, arm, tayar dan cover set. Sekarang, anda sendiri dapat melihat hasilnya yang bukan biasa biasa.
Sebagaimana segenap para pencinta dunia permotoran sedia maklum tentang fenomena Y15 yang melanda Malaysia sekarang, banyak kelab-kelab dan komuniti ditubuhkan bagi mengumpulkan para pencinta motor ini.
Salah satunya adalah komuniti Rudy Norman sendiri iaitu GTB yang merupakan singkatan kepada Geng Tayar Besar. Bukan Geng Takut Bina ya, itu kumpulan GTB lain. Choiii!
Kewujudan komuniti GTB ini secara tidak langsung memberikan kemudahan khususnya kepada para pemiliknya. Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan para penunggang motor lain mengenali dan sedar dengan kehadiran ahli-ahli komuniti ini.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan beliau, membawa masuk motor Y15 ini ke pit perlumbaan untuk dipersembahkan kepada team Yamaha dan Valentino Rossi semasa perlumbaan MotoGP di Sepang International Circuit Malaysia.
Bukan itu sahaja, Rossi turut mencuba dan menandatangani di bahagian fairing hadapan.
Disebabkan terlalu minat pelumba MotoGP ini, Rudy telah memasang pelekat nombor yang sinonim dengan Rossi iaitu 46 pada cover set. Secara tidak langsung, memudahkan beliau berinteraksi dengan team Yamaha pada ketika itu.
Bagi makluman anda, hasil modifikasi ini berjaya menarik perhatian beberapa produksi filem dan telah menjadikan motor ini untuk beraksi di layar perak.
Pendapat peribadi saya secara jujurnya, ia merupakan satu pelaburan yang sangat berbaloi buat Rudy. Bukan senang nak modifikasi motor mahal-mahal, bila ada pulangan sebegini pastinya memberi sedikit kepuasan yang lain. Betul tak?
Apa-apa pun, kami di majalah Roadstar mengucapkan semoga maju jaya kepada Rudy Norman dalam apa jua bidang yang diceburi dan teruskan bermodifikasi.
Sumber: https://roadstarmag.com/
Gambar dan teks : En. Bob