Honda RS150R mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2016. Selepas lebih tiga tahun, ia masih tidak diperbaharui, selain grafik, sedangkan pesaing terdekatnya iaitu Yamaha Y15ZR sudah pun menerima naik taraf yang melibatkan perubahan bahagian meter dan juga lampu hadapan.
Disebabkan itu, popularitinya di kalangan pengguna semakin berkurang. Sehinggalah pada bulan Julai lalu, muncul sebuah model kapcai Honda baru dilancarkan di Vietnam. Ia dipanggil sebagai Winner X, dengan bentuk badan yang berubah terus, tetapi di sebaliknya masih lagi menggunakan asas seperti RS150R (juga dipanggil sebagai Winner 150 atau Supra GTR 150 di beberapa negara lain).
Ramai yang teruja dengan kemunculan Winner X ini, terutamanya penggemar motosikal Honda di Malaysia. Soalan utama yang selalu muncul tentulah berkenaan bila Boon Siew Honda (BSH) Malaysia Sdn Bhd akan membawanya masuk ke dalam pasaran. Kami ada bertanya sendiri kepada wakil BSH, tetapi mereka juga tidak dapat memberi kata putus sama ada ia akan masuk ataupun tidak.
Bertanya soalan seperti ini adalah tingkah laku yang boleh dijangka daripada orang biasa. Tapi, Khairi Yaakub bukan begitu. Sebaik sahaja Winner X muncul di Vietnam, beliau terus membuat keputusan untuk mencari jalan bagi memiliki model baru ini.
Membawanya masuk menggunakan permit import (AP) bukanlah satu pilihan yang bijak atau berbaloi, jadi cara seterusnya adalah membawa masuk kit badannya sahaja. Memandangkan Winner X ini masih menggunakan asas yang sama dengan RS150R, dan Khairi memang sudah memiliki kapcai 150 cc Honda tersebut, pilihan ini kedengaran lebih rasional.
Orang pertama yang terlintas di fikiran beliau adalah bekas pelumba Grand Prix, Shahrol Yuzy yang sekarang aktif sebagai pengurus dan pelatih pasukan lumba Honda yang bertanding dalam pelbagai perlumbaan antarabangsa. Khairi bertambah gembira apabila Yuzy beritahu boleh membantu.
Awalnya memang sedikit sukar, kerana model tersebut terlalu baru dalam pasaran Vietnam, tapi akhirnya setelah beberapa minggu, kebanyakan bahagian Winner X ini sampai ke tangan Khairi. Ini termasuklah bahagian panel badan, meter dan juga pendawaian. Berkenaan kos, Khairi memberitahu, ia dalam sekitar RM3,500.
Tambah Khairi lagi, kerja memasang panel badan Winner X ini kepada badan RS150R mengambil masa cuma satu minggu sahaja, dan beliau melakukannya sendiri di rumah bersama beberapa orang rakan, kebanyakannya pada waktu malam hingga awal pagi.
Perkara yang paling memakan masa adalah untuk ‘membogelkan’ keseluruhan motosikal dan menanggalkan sistem pendawaian asalnya. Kemudiannya, sistem pendawaian Winner X yang perlu digunakan juga mempunyai beza pada soket beberapa bahagian termasuk sensor TPS.
Kerja memasang panel badan itu sendiri tidak begitu rumit dan tidak memerlukan sebarang kimpalan pada rangka motosikal. Cumanya, untuk beberapa skru, beliau perlu membuat tapak khas (bracket). Dari pandangan mata kami yang melihat sendiri motosikal ini di depan mata, hasilnya agak kemas dan tiada bahagian yang renggang atau longgar.
Kalau anda perhatikan juga, selain panel badan Winner X, banyak lagi bahagian lain pada motosikal Khairi ini yang sudah diubah suai. Tetapi sebenarnya, ini adalah ubah suai yang sudah dilakukan lebih awal oleh Khairi, iaitu sejak dari awal beliau memiliki motosikal itu lagi.
Ubah suai yang dilakukan oleh Khairi (selain badan Winner X) sudah mencecah hampir RM30,000 dan ini termasuk fork, rim dan brek superbike, lengan ayun NSR150 SP, rim VFR400, ekzos SC Project, pam klac jenis hidraulik dan peletak kaki jenis lumba.
Walaubagaimanapun, Khairi masih mengekalkan enjin asal RS150R dan ia cuma ditala semula dengan penggunaan unit pengawal enjin (ECU) TuneBoss. Pam brek dan klac juga dinaik taraf dengan unit RCS19 pada bahagian brek. Satu bahagian yang nampak sedikit kekurangan adalah tempat kunci yang mempunyai ruang kosong kerana Khairi tidak mengunakan sistem tanpa kunci Winner X dan meletakkan tempat kunci asal RS150R di situ.
Khairi juga memberitahu, walapun motosikal ini sudah dikenakan sumpahan ‘tayar besar’, beliau cuma menggunakan tayar 150/60 di belakang kerana ia nampak lebih seimbang berbanding penggunaan lengan ayun dan rim superbike lain (seperti Ducati) yang menggunakan tayar sehingga saiz 180/55.
Untuk perancangan masa hadapan, Khairi memberitahu beliau mungkin akan mengenakan grafik airbrush khas pada Winner X ubah suai beliau tetapi cuma akan melakukannya selepas acara MotoGP Sepang. Semasa minggu perlumbaan popular tersebut di Litar Sepang, Winner X Khairi juga akan diletakkan di salah satu kawasan pameran dan jualan.
Sumber: https://paultan.org/