Search
Search
Street Cub C70 Wak Eddy Sham

Street Cub C70 Wak Eddy Sham

Nama sebenar dia Eddy Sham, tapi sebahagian peminat Street Cub memanggilnya dengan panggilan Wak. Jadi saya pun panggil Wak lah lagi senang.

Kalau anda biasa dengan scene Street Cub, beliau adalah nama penting dalam industri. Antara yang terawal mempopularkan motor Honda Cub dengan tayar saiz superbike.

Semenjak memulakan projek pertamanya, Wak telah menjalani kehidupan yang berbeza. Semuanya datang secara kebetulan.

Wak sebenarnya pemilik bengkel kereta, mengubahsuai Perdana, BMW enjin Jepun, kereta drift, kereta olskool, basikal elektrik dan moto cubprix dan juga motocross. Tiba-tiba rasa banyak pula hobi.

Kemudian, hobi di rumah ialah mengubahsuai motosikal. Projek pertamanya sebuah Honda cub C70 GBO milik sendiri yang diubahsuai beberapa kali dengan bermacam cara dan gaya.

Motor yang sama itulah dibawa ke seluruh Malaysia setiap kali ada acara motosikal yang berlangsung. Motor itu jugalah yang kini berwarna oren seperti yang terlihat dalam foto kali ini.

Apa yang menyebabkan beliau menjadi taksub pada jentera beroda ialah kerana minat. Apa juga cabaran akan cuba diselesaikannya sehinggalah seorang pelanggan datang dan bertanya sama ada beliau boleh mengubahsuai sebuah Suzuki GS550 kepada Cafe Racer.

Termenung sekejap, beliau melihat-lihat gambar dalam website dan terus bersetuju. Cabaran itu direalisasikan dalam masa beberapa bulan dan beliau yakin untuk menerima pengubahsuaian cafe racer pula.

Di bengkel khas belakang rumahnya, beliau pernah mengubahsuai sebuah Virago 535 menjadi cafe racer serba krom!

Namun pengalaman yang paling berharga ialah ketika berkonvoi dari Melaka-Banting-Klang dan Teluk Batik. Bayangkan ride streetcub dengan tayar besar rumah berapa laju saja yang boleh pergi?

Tapi resam seorang rider lah kan. Perjalanan yang memakan masa lebih 18 jam itu merupakan pengalaman yang membuatkannya kenal erti persahabatan.

Pemilik bengkel custom dari daerah Bukit Pelandok, Negeri Sembilan ini juga bergiat aktif dalam kelab naungannya sendiri, BJCC (Bocah Jowo Choner Club).

Kalau datang ke bengkelnya, boleh jumpa geng motor-motor custom ini berkumpul, berbual dan lepak sampai tengah malam sampai subuh pun ada kata Wak.

Maklumlah, ahli kelab pun pelanggan, pelanggan pula kebanyakannya memang kawan-kawan yang dah lebih dari sekadar hubungan perniagaan. Sifat peramah juga yang menyebabkan beliau disenangi oleh orang sekelilingnya.

Dah pau rokok Gudang Garam Surya 3 batang pun dia senyum macam itu saja. Wak dapat merasakan ia akan mewariskan hobinya kepada anak beliau.

Dalam keadaan sekarang pun, anaknya dah pandai modified Yamaha SS Racing Spirit. Saya tengok pun dah macam rupa motor cubprix.

Sumber: https://roadstarmag.com/

Kapchai